Skip to main content

Pengenalan IPIM

“Majlis Muzium Antarabangsa mendefinisikan muzium sebagai sebuah institusi yang bersifat tetap, tidak membuat keuntungan, memberi khidmat kepada masyarakat, terbuka untuk umum, memperoleh, merawat, menyelidik dan mempamer warisan ketara dan tidak ketara dari bukti kewujudan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan, pembelajaran dan hiburan”. (ICOM, 2007)

Muzium dianggap sebagai pemegang amanah warisan negara yang tidak ternilai dan mungkin tidak dapat ditukar ganti. Muzium juga berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal manakala sumber dan bahan-bahan yang terdapat di muzium mampu memberi kefahaman dan menarik minat sama ada yang berkaitan sejarah, sastera, sains atau alam semula jadi.  Walaupun terdapat pelbagai peranan yang dimainkan oleh institusi muzium, namun pendidikan merupakan bidang utama yang perlu diberi penekanan.  Bidang ini penting sebagai suatu proses penyaluran maklumat secara berkesan dan berterusan. 

Bagi mengukuhkan lagi peranan tersebut, pendekatan baharu yang dirangka perlu seiring dengan matlamat menjadikan muzium sebagai pusat informasi penting. Waima  dengan jumlah muzium yang meningkat dari semasa ke semasa, maka sewajarnya peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal menjadi semakin giat dan diperkasakan dengan penglibatan pelbagai institusi awam terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia yang menjadi pemacu kepada Falsafah Pendidikan Negara.

Sejajar dengan aspirasi Program Kebudayaan Kebangsaan, Inspirasi Pelajar Institusi Muzium (IPIM) ini dirangka dengan begitu teliti agar ia selaras dengan   usaha-usaha untuk pembentukan dan pengekalan identiti rakyat Malaysia. Program IPIM yang merupakan program pendidikan adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. IPIM bertindak sebagai satu wadah untuk mengintegrasikan pelajar melalui konsep silang budaya yang mana pelajar ini terdiri daripada pelbagai latar sosiobudaya dengan menggunakan pendekatan gabungan peranan pendidikan formal dan tidak formal.  

Nama IPIM membawa aspirasi menjadikan institusi muzium sebagai sistem sokongan pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang mantap merangkumi sistem penyampaian berkualiti dalam usaha peningkatan kemenjadian pelajar serta satu pendekatan pendidikan kewarganegaraan pada peringkat awal.

IPIM membuktikan kesesuaian muzium berfungsi sebagai salah satu tempat rujukan bagi membantu pendidik serta pelajar dalam p&p serta perluasan tentang pengetahuan sejarah. IPIM berupaya memperkukuh matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menerusi kerjasama KPM dan JMM dengan menggunakan modul-modul permuziuman yang dirangka bagi membantu p&p.

Program ini juga dapat dijadikan sebagai landasan kepada transformasi sistem pendidikan Malaysia dengan memberi penekanan kepada hasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi di muzium demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.  Dengan penglibatan murid dan pelatih guru ini dalam aktiviti permuziuman, akan memperkukuhkan lagi jati diri, perpaduan bertambah utuh dan memartabatkan tamadun kerana Muzium Kita, Tamadun Kita.