Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) merupakan program pendidikan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia khususnya Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Matlamat program ini adalah untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah dengan memberi pengalaman pembelajaran di institusi muzium. Di samping itu, guru boleh menjadikan institusi muzium ini sebagai sistem sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mantap dalam usaha peningkatan kemenjadian murid.
Selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) yang menitik beratkan usaha memupuk minat pelajar menghayati sejarah turut menguatkan konsep IPIM sebagai suatu program yang amat relevan yang harus direalisasikan. Sehubungan itu, program IPIM ini secara langsung dapat menzahirkan aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran dwibahasa serta etika dan kerohanian dengan menggunakan modul-modul permuziuman yang dirangka bagi membantu PdP.
Program ini mempunyai impak yang tinggi kepada sistem pendidikan dan juga peranan institusi muzium dalam usaha memartabatkan khazanah negara. Melalui Projek rintis IPIM yang telah dilaksanakan pada April hingga Mei 2015, dapatan rintis ini membuktikan kesesuaian muzium berfungsi sebagai salah satu tempat rujukan bagi membantu pendidik serta pelajar dalam PdP serta memperluaskan pengetahuan sedia ada pelajar dalam mata pelajaran Sejarah.
Program ini terbahagi kepada dua fasa. Jangka masa bagi satu fasa adalah dicadangkan selama dua tahun. Program IPIM di peringkat Fasa I dan II akan memberi fokus kepada mata pelajaran teras akademik iaitu Sejarah sahaja dan keberkesanan program ke atas mata pelajaran berkenaan. Walau bagaimanapun, bagi strategi jangka panjang program ini akan diperluas pada peringkat pertengahan Fasa II dengan melibatkan mata pelajaran teras akademik yang lain.